As-Saffat

سورة الصافات

Surah 37 · Makkiyyah · 182 ayat

37:1Juz 23 · hlm. 446

وَالصَّافَّاتِ صَفًّا1

Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret -
37:2Juz 23 · hlm. 446

فَالزَّاجِرَاتِ زَجْرًا2

(Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya -
37:3Juz 23 · hlm. 446

فَالتَّالِيَاتِ ذِكْرًا3

(Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci;
37:4Juz 23 · hlm. 446

إِنَّ إِلَٰهَكُمْ لَوَاحِدٌ4

(Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu -
37:5Juz 23 · hlm. 446

رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَرَبُّ الْمَشَارِقِ5

Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.
37:6Juz 23 · hlm. 446

إِنَّا زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِزِينَةٍ الْكَوَاكِبِ6

Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.
37:7Juz 23 · hlm. 446

وَحِفْظًا مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ مَارِدٍ7

Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka;
37:8Juz 23 · hlm. 446

لَا يَسَّمَّعُونَ إِلَى الْمَلَإِ الْأَعْلَىٰ وَيُقْذَفُونَ مِنْ كُلِّ جَانِبٍ8

(Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru,
37:9Juz 23 · hlm. 446

دُحُورًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ وَاصِبٌ9

Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus.
37:10Juz 23 · hlm. 446

إِلَّا مَنْ خَطِفَ الْخَطْفَةَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ ثَاقِبٌ10

Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.
37:11Juz 23 · hlm. 446

فَاسْتَفْتِهِمْ أَهُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمْ مَنْ خَلَقْنَا ۚ إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لَازِبٍ11

(Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).
37:12Juz 23 · hlm. 446

بَلْ عَجِبْتَ وَيَسْخَرُونَ12

(Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka), dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu).
37:13Juz 23 · hlm. 446

وَإِذَا ذُكِّرُوا لَا يَذْكُرُونَ13

Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu menerima peringatan itu.
37:14Juz 23 · hlm. 446

وَإِذَا رَأَوْا آيَةً يَسْتَسْخِرُونَ14

Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan memperolok-olokkannya, -
37:15Juz 23 · hlm. 446

وَقَالُوا إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ15

Serta mereka berkata: "Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.
37:16Juz 23 · hlm. 446

أَإِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ16

"Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan dibangkitkan hidup semula?
37:17Juz 23 · hlm. 446

أَوَآبَاؤُنَا الْأَوَّلُونَ17

"Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan dibangkitkan hidup semula)?"
37:18Juz 23 · hlm. 446

قُلْ نَعَمْ وَأَنْتُمْ دَاخِرُونَ18

Jawablah (wahai Muhammad): "Ya, benar !(Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina ".
37:19Juz 23 · hlm. 446

فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ فَإِذَا هُمْ يَنْظُرُونَ19

(Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi).
37:20Juz 23 · hlm. 446

وَقَالُوا يَا وَيْلَنَا هَٰذَا يَوْمُ الدِّينِ20

Dan (pada saat itu) mereka berkata:" Wahai celakanya kami, ini ialah hari balasan!"
37:21Juz 23 · hlm. 446

هَٰذَا يَوْمُ الْفَصْلِ الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ21

(Lalu malaikat berkata kepada mereka): " Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu mendustakannya ".
37:22Juz 23 · hlm. 446

۞ احْشُرُوا الَّذِينَ ظَلَمُوا وَأَزْوَاجَهُمْ وَمَا كَانُوا يَعْبُدُونَ22

(Allah berfirman kepada malaikat):" Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah -
37:23Juz 23 · hlm. 446

مِنْ دُونِ اللَّهِ فَاهْدُوهُمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْجَحِيمِ23

"Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.
37:24Juz 23 · hlm. 446

وَقِفُوهُمْ ۖ إِنَّهُمْ مَسْئُولُونَ24

"Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal:
37:25Juz 23 · hlm. 447

مَا لَكُمْ لَا تَنَاصَرُونَ25

"Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang kamu dakwakan dahulu?"
37:26Juz 23 · hlm. 447

بَلْ هُمُ الْيَوْمَ مُسْتَسْلِمُونَ26

(Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa) bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk diadili);
37:27Juz 23 · hlm. 447

وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَسَاءَلُونَ27

Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.
37:28Juz 23 · hlm. 447

قَالُوا إِنَّكُمْ كُنْتُمْ تَأْتُونَنَا عَنِ الْيَمِينِ28

Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya):" Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu".
37:29Juz 23 · hlm. 447

قَالُوا بَلْ لَمْ تَكُونُوا مُؤْمِنِينَ29

Ketua-ketuanya menjawab: " (Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!
37:30Juz 23 · hlm. 447

وَمَا كَانَ لَنَا عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ ۖ بَلْ كُنْتُمْ قَوْمًا طَاغِينَ30

"Dan kami (selain daripada mengajak kamu (tidak mempunyai sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas.
37:31Juz 23 · hlm. 447

فَحَقَّ عَلَيْنَا قَوْلُ رَبِّنَا ۖ إِنَّا لَذَائِقُونَ31

(Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita, bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu).
37:32Juz 23 · hlm. 447

فَأَغْوَيْنَاكُمْ إِنَّا كُنَّا غَاوِينَ32

"(Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat"
37:33Juz 23 · hlm. 447

فَإِنَّهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ33

Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita azab bersama.
37:34Juz 23 · hlm. 447

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَفْعَلُ بِالْمُجْرِمِينَ34

Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang yang berdosa.
37:35Juz 23 · hlm. 447

إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ35

Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;" (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah" - mereka bersikap takbur mengingkarinya, -
37:36Juz 23 · hlm. 447

وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُو آلِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَجْنُونٍ36

Serta mereka berkata: " Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?"
37:37Juz 23 · hlm. 447

بَلْ جَاءَ بِالْحَقِّ وَصَدَّقَ الْمُرْسَلِينَ37

(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).
37:38Juz 23 · hlm. 447

إِنَّكُمْ لَذَائِقُو الْعَذَابِ الْأَلِيمِ38

Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
37:39Juz 23 · hlm. 447

وَمَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ39

Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan;
37:40Juz 23 · hlm. 447

إِلَّا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ40

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik,
37:41Juz 23 · hlm. 447

أُولَٰئِكَ لَهُمْ رِزْقٌ مَعْلُومٌ41

Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum,
37:42Juz 23 · hlm. 447

فَوَاكِهُ ۖ وَهُمْ مُكْرَمُونَ42

Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan,
37:43Juz 23 · hlm. 447

فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ43

Di dalam syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.
37:44Juz 23 · hlm. 447

عَلَىٰ سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ44

Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran;
37:45Juz 23 · hlm. 447

يُطَافُ عَلَيْهِمْ بِكَأْسٍ مِنْ مَعِينٍ45

Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir,
37:46Juz 23 · hlm. 447

بَيْضَاءَ لَذَّةٍ لِلشَّارِبِينَ46

Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-orang yang meminumnya,
37:47Juz 23 · hlm. 447

لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلَا هُمْ عَنْهَا يُنْزَفُونَ47

Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan, dan tidak pula mereka mabuk kerana menikmatinya.
37:48Juz 23 · hlm. 447

وَعِنْدَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ عِينٌ48

Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;
37:49Juz 23 · hlm. 447

كَأَنَّهُنَّ بَيْضٌ مَكْنُونٌ49

(Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
37:50Juz 23 · hlm. 447

فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَسَاءَلُونَ50

(Tinggalah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan), lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan bertanya-tanyaan.
37:51Juz 23 · hlm. 447

قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ إِنِّي كَانَ لِي قَرِينٌ51

Seorang di antaranya berkata: " Sesungguhnya aku (di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku).
37:52Juz 23 · hlm. 448

يَقُولُ أَإِنَّكَ لَمِنَ الْمُصَدِّقِينَ52

"katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)?
37:53Juz 23 · hlm. 448

أَإِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَإِنَّا لَمَدِينُونَ53

"Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? " '
37:54Juz 23 · hlm. 448

قَالَ هَلْ أَنْتُمْ مُطَّلِعُونَ54

(Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: " Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?"
37:55Juz 23 · hlm. 448

فَاطَّلَعَ فَرَآهُ فِي سَوَاءِ الْجَحِيمِ55

Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang.
37:56Juz 23 · hlm. 448

قَالَ تَاللَّهِ إِنْ كِدْتَ لَتُرْدِينِ56

Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:" Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.
37:57Juz 23 · hlm. 448

وَلَوْلَا نِعْمَةُ رَبِّي لَكُنْتُ مِنَ الْمُحْضَرِينَ57

"Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab) ".
37:58Juz 23 · hlm. 448

أَفَمَا نَحْنُ بِمَيِّتِينَ58

(Kemudian ia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): " Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi, -
37:59Juz 23 · hlm. 448

إِلَّا مَوْتَتَنَا الْأُولَىٰ وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ59

"Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa?"
37:60Juz 23 · hlm. 448

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ60

Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.
37:61Juz 23 · hlm. 448

لِمِثْلِ هَٰذَا فَلْيَعْمَلِ الْعَامِلُونَ61

Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).
37:62Juz 23 · hlm. 448

أَذَٰلِكَ خَيْرٌ نُزُلًا أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ62

Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?
37:63Juz 23 · hlm. 448

إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِلظَّالِمِينَ63

Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).
37:64Juz 23 · hlm. 448

إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ64

Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang;
37:65Juz 23 · hlm. 448

طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ65

Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
37:66Juz 23 · hlm. 448

فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ66

Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.
37:67Juz 23 · hlm. 448

ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْبًا مِنْ حَمِيمٍ67

Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi - selain itu- satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
37:68Juz 23 · hlm. 448

ثُمَّ إِنَّ مَرْجِعَهُمْ لَإِلَى الْجَحِيمِ68

Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang.
37:69Juz 23 · hlm. 448

إِنَّهُمْ أَلْفَوْا آبَاءَهُمْ ضَالِّينَ69

Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan;
37:70Juz 23 · hlm. 448

فَهُمْ عَلَىٰ آثَارِهِمْ يُهْرَعُونَ70

Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya.
37:71Juz 23 · hlm. 448

وَلَقَدْ ضَلَّ قَبْلَهُمْ أَكْثَرُ الْأَوَّلِينَ71

Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga - sebelum kaummu (wahai Muhammad) - kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.
37:72Juz 23 · hlm. 448

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا فِيهِمْ مُنْذِرِينَ72

Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran.
37:73Juz 23 · hlm. 448

فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنْذَرِينَ73

Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran, -
37:74Juz 23 · hlm. 448

إِلَّا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ74

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).
37:75Juz 23 · hlm. 448

وَلَقَدْ نَادَانَا نُوحٌ فَلَنِعْمَ الْمُجِيبُونَ75

Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.
37:76Juz 23 · hlm. 448

وَنَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيمِ76

Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.
37:77Juz 23 · hlm. 449

وَجَعَلْنَا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الْبَاقِينَ77

Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang ingkar).
37:78Juz 23 · hlm. 449

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ78

Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
37:79Juz 23 · hlm. 449

سَلَامٌ عَلَىٰ نُوحٍ فِي الْعَالَمِينَ79

"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! "
37:80Juz 23 · hlm. 449

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ80

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.
37:81Juz 23 · hlm. 449

إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ81

Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
37:82Juz 23 · hlm. 449

ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ82

Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).
37:83Juz 23 · hlm. 449

۞ وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ83

Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.
37:84Juz 23 · hlm. 449

إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ84

Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.
37:85Juz 23 · hlm. 449

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ مَاذَا تَعْبُدُونَ85

Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: " Apa yang kamu sembah?
37:86Juz 23 · hlm. 449

أَئِفْكًا آلِهَةً دُونَ اللَّهِ تُرِيدُونَ86

"Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?
37:87Juz 23 · hlm. 449

فَمَا ظَنُّكُمْ بِرَبِّ الْعَالَمِينَ87

"Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?"
37:88Juz 23 · hlm. 449

فَنَظَرَ نَظْرَةً فِي النُّجُومِ88

Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),
37:89Juz 23 · hlm. 449

فَقَالَ إِنِّي سَقِيمٌ89

Lalu berkata: "Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)".
37:90Juz 23 · hlm. 449

فَتَوَلَّوْا عَنْهُ مُدْبِرِينَ90

Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia.
37:91Juz 23 · hlm. 449

فَرَاغَ إِلَىٰ آلِهَتِهِمْ فَقَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ91

Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): "Mengapa kamu tidak makan?
37:92Juz 23 · hlm. 449

مَا لَكُمْ لَا تَنْطِقُونَ92

"Mengapa kamu tidak menjawab?"
37:93Juz 23 · hlm. 449

فَرَاغَ عَلَيْهِمْ ضَرْبًا بِالْيَمِينِ93

Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).
37:94Juz 23 · hlm. 449

فَأَقْبَلُوا إِلَيْهِ يَزِفُّونَ94

(Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya.
37:95Juz 23 · hlm. 449

قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ95

(Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat?
37:96Juz 23 · hlm. 449

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ96

"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!"
37:97Juz 23 · hlm. 449

قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ97

(Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu".
37:98Juz 23 · hlm. 449

فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ98

Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya).
37:99Juz 23 · hlm. 449

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّي سَيَهْدِينِ99

Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar).
37:100Juz 23 · hlm. 449

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ100

" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!"
37:101Juz 23 · hlm. 449

فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ101

Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.
37:102Juz 23 · hlm. 449

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ102

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
37:103Juz 23 · hlm. 450

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ103

Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
37:104Juz 23 · hlm. 450

وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ104

Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
37:105Juz 23 · hlm. 450

قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ105

"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
37:106Juz 23 · hlm. 450

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ106

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
37:107Juz 23 · hlm. 450

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ107

Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
37:108Juz 23 · hlm. 450

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ108

Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
37:109Juz 23 · hlm. 450

سَلَامٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ109

"Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
37:110Juz 23 · hlm. 450

كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ110

Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
37:111Juz 23 · hlm. 450

إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ111

Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
37:112Juz 23 · hlm. 450

وَبَشَّرْنَاهُ بِإِسْحَاقَ نَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ112

Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.
37:113Juz 23 · hlm. 450

وَبَارَكْنَا عَلَيْهِ وَعَلَىٰ إِسْحَاقَ ۚ وَمِنْ ذُرِّيَّتِهِمَا مُحْسِنٌ وَظَالِمٌ لِنَفْسِهِ مُبِينٌ113

Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.
37:114Juz 23 · hlm. 450

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَىٰ مُوسَىٰ وَهَارُونَ114

Dan demi sesungguhnya! kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.
37:115Juz 23 · hlm. 450

وَنَجَّيْنَاهُمَا وَقَوْمَهُمَا مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيمِ115

Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar;
37:116Juz 23 · hlm. 450

وَنَصَرْنَاهُمْ فَكَانُوا هُمُ الْغَالِبِينَ116

Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);
37:117Juz 23 · hlm. 450

وَآتَيْنَاهُمَا الْكِتَابَ الْمُسْتَبِينَ117

Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;
37:118Juz 23 · hlm. 450

وَهَدَيْنَاهُمَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ118

Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.
37:119Juz 23 · hlm. 450

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِمَا فِي الْآخِرِينَ119

Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
37:120Juz 23 · hlm. 450

سَلَامٌ عَلَىٰ مُوسَىٰ وَهَارُونَ120

"Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!"
37:121Juz 23 · hlm. 450

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ121

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
37:122Juz 23 · hlm. 450

إِنَّهُمَا مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ122

Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.
37:123Juz 23 · hlm. 450

وَإِنَّ إِلْيَاسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ123

Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
37:124Juz 23 · hlm. 450

إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَلَا تَتَّقُونَ124

(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.
37:125Juz 23 · hlm. 450

أَتَدْعُونَ بَعْلًا وَتَذَرُونَ أَحْسَنَ الْخَالِقِينَ125

"Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?
37:126Juz 23 · hlm. 450

اللَّهَ رَبَّكُمْ وَرَبَّ آبَائِكُمُ الْأَوَّلِينَ126

"Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu!"
37:127Juz 23 · hlm. 451

فَكَذَّبُوهُ فَإِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ127

Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir (untuk diseksa),
37:128Juz 23 · hlm. 451

إِلَّا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ128

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik balasan).
37:129Juz 23 · hlm. 451

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ129

Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
37:130Juz 23 · hlm. 451

سَلَامٌ عَلَىٰ إِلْ يَاسِينَ130

"Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas!"
37:131Juz 23 · hlm. 451

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ131

Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
37:132Juz 23 · hlm. 451

إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ132

Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
37:133Juz 23 · hlm. 451

وَإِنَّ لُوطًا لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ133

Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
37:134Juz 23 · hlm. 451

إِذْ نَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ أَجْمَعِينَ134

(ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,
37:135Juz 23 · hlm. 451

إِلَّا عَجُوزًا فِي الْغَابِرِينَ135

Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.
37:136Juz 23 · hlm. 451

ثُمَّ دَمَّرْنَا الْآخَرِينَ136

Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut).
37:137Juz 23 · hlm. 451

وَإِنَّكُمْ لَتَمُرُّونَ عَلَيْهِمْ مُصْبِحِينَ137

Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.
37:138Juz 23 · hlm. 451

وَبِاللَّيْلِ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ138

Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?.
37:139Juz 23 · hlm. 451

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ139

Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
37:140Juz 23 · hlm. 451

إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ140

(Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.
37:141Juz 23 · hlm. 451

فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ141

(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut).
37:142Juz 23 · hlm. 451

فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ142

Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.
37:143Juz 23 · hlm. 451

فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ143

Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),
37:144Juz 23 · hlm. 451

لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ144

Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.
37:145Juz 23 · hlm. 451

۞ فَنَبَذْنَاهُ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ سَقِيمٌ145

Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit.
37:146Juz 23 · hlm. 451

وَأَنْبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِنْ يَقْطِينٍ146

Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.
37:147Juz 23 · hlm. 451

وَأَرْسَلْنَاهُ إِلَىٰ مِائَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ147

Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.
37:148Juz 23 · hlm. 451

فَآمَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَىٰ حِينٍ148

(Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).
37:149Juz 23 · hlm. 451

فَاسْتَفْتِهِمْ أَلِرَبِّكَ الْبَنَاتُ وَلَهُمُ الْبَنُونَ149

(Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?
37:150Juz 23 · hlm. 451

أَمْ خَلَقْنَا الْمَلَائِكَةَ إِنَاثًا وَهُمْ شَاهِدُونَ150

Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu - perempuan?
37:151Juz 23 · hlm. 451

أَلَا إِنَّهُمْ مِنْ إِفْكِهِمْ لَيَقُولُونَ151

Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:
37:152Juz 23 · hlm. 451

وَلَدَ اللَّهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ152

"Allah beranak"; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!
37:153Juz 23 · hlm. 451

أَصْطَفَى الْبَنَاتِ عَلَى الْبَنِينَ153

(Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak sukai?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu Dia lah yang menciptakannya)?
37:154Juz 23 · hlm. 452

مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ154

Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?
37:155Juz 23 · hlm. 452

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ155

Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?
37:156Juz 23 · hlm. 452

أَمْ لَكُمْ سُلْطَانٌ مُبِينٌ156

Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)?
37:157Juz 23 · hlm. 452

فَأْتُوا بِكِتَابِكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ157

(Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.
37:158Juz 23 · hlm. 452

وَجَعَلُوا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجِنَّةِ نَسَبًا ۚ وَلَقَدْ عَلِمَتِ الْجِنَّةُ إِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ158

(Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat, padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa hadir (ke dalam azab pada hari akhirat).
37:159Juz 23 · hlm. 452

سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ159

Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu!
37:160Juz 23 · hlm. 452

إِلَّا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ160

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat sebaik-baik balasan).
37:161Juz 23 · hlm. 452

فَإِنَّكُمْ وَمَا تَعْبُدُونَ161

Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik), dan apa yang kamu sembah itu.
37:162Juz 23 · hlm. 452

مَا أَنْتُمْ عَلَيْهِ بِفَاتِنِينَ162

Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan Tuhannya,
37:163Juz 23 · hlm. 452

إِلَّا مَنْ هُوَ صَالِ الْجَحِيمِ163

kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan dibakar di dalam neraka yang menjulang-julang.
37:164Juz 23 · hlm. 452

وَمَا مِنَّا إِلَّا لَهُ مَقَامٌ مَعْلُومٌ164

(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): "Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya);
37:165Juz 23 · hlm. 452

وَإِنَّا لَنَحْنُ الصَّافُّونَ165

"Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat),
37:166Juz 23 · hlm. 452

وَإِنَّا لَنَحْنُ الْمُسَبِّحُونَ166

"Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!"
37:167Juz 23 · hlm. 452

وَإِنْ كَانُوا لَيَقُولُونَ167

Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah berkata:
37:168Juz 23 · hlm. 452

لَوْ أَنَّ عِنْدَنَا ذِكْرًا مِنَ الْأَوَّلِينَ168

"Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan Rasul-rasul) yang telah lalu
37:169Juz 23 · hlm. 452

لَكُنَّا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ169

"Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik!"
37:170Juz 23 · hlm. 452

فَكَفَرُوا بِهِ ۖ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ170

(Setelah Al-Quran diturunkan kepada mereka) mereka mengingkarinya; oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat kekufurannya).
37:171Juz 23 · hlm. 452

وَلَقَدْ سَبَقَتْ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا الْمُرْسَلِينَ171

Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul -
37:172Juz 23 · hlm. 452

إِنَّهُمْ لَهُمُ الْمَنْصُورُونَ172

Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan
37:173Juz 23 · hlm. 452

وَإِنَّ جُنْدَنَا لَهُمُ الْغَالِبُونَ173

Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).
37:174Juz 23 · hlm. 452

فَتَوَلَّ عَنْهُمْ حَتَّىٰ حِينٍ174

Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
37:175Juz 23 · hlm. 452

وَأَبْصِرْهُمْ فَسَوْفَ يُبْصِرُونَ175

Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka; tidak lama kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami tetapkan untukmu).
37:176Juz 23 · hlm. 452

أَفَبِعَذَابِنَا يَسْتَعْجِلُونَ176

Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang telah ditetapkan oleh) Kami!
37:177Juz 23 · hlm. 452

فَإِذَا نَزَلَ بِسَاحَتِهِمْ فَسَاءَ صَبَاحُ الْمُنْذَرِينَ177

Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.
37:178Juz 23 · hlm. 452

وَتَوَلَّ عَنْهُمْ حَتَّىٰ حِينٍ178

Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu masa.
37:179Juz 23 · hlm. 452

وَأَبْصِرْ فَسَوْفَ يُبْصِرُونَ179

Dan lihatlah (apa yang akan jadi); tidak lama kemudian, mereka pun akan melihat juga.
37:180Juz 23 · hlm. 452

سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ180

Akuilah kesucian Tuhanmu, - Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, - dari apa yang mereka katakan!
37:181Juz 23 · hlm. 452

وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ181

Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul.
37:182Juz 23 · hlm. 452

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ182

Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

Main dari awal surah

Hani Ar-Rifai - As-Saffat · Tlawati